Friday, July 25, 2008

Baju Melayu pilihan tujuh ADUN PKR, Pas

PULAU PINANG 24 Julai - Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas hari ini menarik perhatian media apabila berbaju Melayu hitam, bersongket dan bersongkok semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mereka yang mengenakan baju Melayu dari PKR ialah Mohammad Fairus Khairuddin dari DUN Penanti, Sim Tze Tzin (DUN Pantai Jerejak), Jason Ong Khan Lee (DUN Kebun Bunga), Maktar Shapee (DUN Sungai Bakap), S. Raveetharan (DUN Batu Uban), Abdul Malik Abul Kassim (DUN Batu Maung) dan ADUN Pas dari Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abd. Rahman.

Ketika ditemui, Tze Tzin memberitahu, beliau memilih untuk memakai baju kebangsaan kerana akan berucap mengenai isu pelbagai kaum.

''Jangan jadikan pakaian sebagai satu isu, ia sangat selesa untuk dipakai dan saya berbangga mengenakan baju Melayu ini.

''Ini adalah baju kebangsaan kita, jadi mengapa kita perlu malu?. Lagi pun pakaian ini mempunyai keunikan tersendiri terutama kain songket ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang DUN di sini hari ini.

Ditanya adakah pemakaian baju Melayu itu dirancang oleh ADUN berkenaan, beliau berkata, mereka sebulat suara bersetuju dengan rancangan berkenaan setelah membincangkannya.

''Bagaimanapun dua lagi ADUN PKR, Ong Chin Wen dan Tan Hock Leong tidak dapat berbuat demikian kerana pakaian mereka belum siap," jelasnya.

Sementara itu, Khan Lee berkata, beliau memilih memakai baju Melayu kerana menghormati budaya kaum Melayu dan hari Khamis adalah hari terakhir persidangan dalam minggu ini.

''Jika kaum Melayu memakai baju Melayu pada hari Jumaat, jadi saya berasa tidak salah saya memakainya pada hari ini terutama membabitkan majlis rasmi," ujarnya.

No comments: