Monday, June 2, 2008

Kemasukan Ezam tambah kusutkan Umno

Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 2 Jun (Hrkh) - Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Zahrin Hashim yakin kemasukan bekas Ketua Angkatan Muda KeAdiLan (AMK), Ezam Mohd Noor ke dalam Umno boleh mempercepatkan pembentukan Kerajaan Baru Malaysia tidak lama lagi.

Ezam katanya, bukan menjadi kebanggaan Umno dan Barisan Nasional (BN) bahkan bakal menambah kekusutan dalam Umno apabila beliau dikatakan menjadi ayam tambatan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin untuk menyaingi atau menyekat kemaraan pengaruh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

"Biarlah dia pergi dengan politiknya. Pemergianya langsung tidak memberi kesan pada KeAdiLan sebaliknya menambah kekuatan apabila kemasukan beramai-ramai ahli baru sebagai generasi baru yang lebih cemerlang, " tambahnya ketika berucap di majlis penyerahan borang dan perasmian cawangan baru KeADILan di Kampung Teluk dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Dua semalam.

Menurutnya, bila penyertaan Ezam ke dalam Umno semula sebenarnya menimbulkan kemarahan sebahagian Ahli Parlimen Umno khusunya kerana khuatir mengundang padah yang lebih dahsyat setelah BN tertekan teruk lepas pilihan raya umum lalu.

Bagi Kerajaan Pakatan Rakyat kata beliau, isu kemasukan Ezzam tidak menjadi perbincangan tetapi lebih kepada memberikan penumpuan pada pengtadbiran kerana dalam masa tiga bulan pembentukan Kerajaan PR banyak pelabur mula datang melabur di kelima-lima negeri.

Kerajaan PR mula berkembang walaupun terpaksa mengharungi berbagai dugaan yang antaranya sengaja dicipta oleh ejen-ejen BN untuk memburuk-burukan Kerajaan PR.

"Siapa kata pembangkang tidak boleh memerintah. Terbukti sudah ia hanya pembohongan BN yang selama ini mengatakan Umno dan BN sahaja layak mengtadbir, " ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru.

Sebelum itu beliau diiringi Timbalan Pengerusi KeAdiLan Negeri, Law Choo Kiang, Pengarah Pilihan raya KeAdiLan, Mustaffa Kamal, Ketua Bahagian KeAdiLan Tasek Gelugor, Haji Mohamad Hashim, Ketua Wanita KeAdiLan Bahagian Tasek Gelugor, Noorsiah Md Arshad dan Setiausaha KeAdiLan Bahagian Tasek Gelugor, Haji Azhar Ahmad memotong riben tanda pembukaan sebuah pejabat KeAdiLan cawangan Kampung Teluk, Sungai Dua.

Seramai 64 orang ahli berbangsa tionghua diketuai Quak Ah Hee menyerahkan borang kemasukan KeADILan kepada Dato' Zahrin. - mks.

No comments: