Tuesday, July 15, 2008

Tutup kolam banjir tepi flat

Oleh FAIROL REDZA ISMAEL ALABAS

PULAU PINANG 14 Julai - Para penghuni Pangsapuri Kristal Idaman di sini meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menutup kolam air tadahan mencegah banjir yang terletak di tepi pangsapuri 11 tingkat itu dengan segera.

Ini kerana, setiap kali air kolam berkenaan penuh, kanak-kanak akan mandi di dalam kolam berkenaan tanpa mempedulikan aspek keselamatan dan kesihatan mereka.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk pangsapuri itu, Abdul Rahman Md. Ibrahim, kolam yang tidak bertutup itu juga tidak dipagar menyebabkan ia mudah dimasuki tanpa apa-apa halangan.

''Air kolam tersebut akan bertakung apabila air laut pasang dan air masin itu boleh mencecah paras sehingga satu meter pada satu-satu masa.

''Setiap kali air bertakung, ia menjadi kolam rekreasi kerana kanak-kanak akan berenang di situ tanpa menghiraukan kebersihan air serta keselamatan mereka," katanya pada sesi dialog bersama Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohd. Hashim di sini semalam.

Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir negeri, Law Choo Kiang serta Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak, Sim Tzi Tzin.

Abdul Rahman berkata, apa yang membimbangkan ialah air yang bertakung di dalam kolam itu bercampur dengan najis dan ini akan menjejaskan kesihatan serta mencemarkan kawasan itu.

Najis berkenaan, dakwanya disalurkan melalui tandas yang dibina secara haram oleh pengendali tempat letak kereta di bangunan bersebelahan.

''Selain itu air yang bertakung itu juga menyerap ke dalam tanah dan secara tidak langsung boleh menyebabkan struktur pangsapuri ini menjadi tidak stabil.

''Jika keadaan itu berterusan, kita bimbang ia boleh menyebabkan bangunan pangsapuri yang berusia lima tahun ini runtuh," katanya.

Justeru, katanya, penduduk meminta pihak JPS mengkaji semula kedudukan kolam berkenaan dan menentukan sama ada ia perlu dipindahkan atau dibina secara lebih bersistematik bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pada majlis berkenaan juga, penduduk turut meluahkan kebimbangan berhubung masalah kebocoran siling yang dialami oleh penghuni yang menetap di bahagian atas pangsapuri itu.

Menurut salah seorang penghuninya, Mohd. Salleh Mustafa, 43, dia berasa kecewa dengan pemaju pangsapuri itu kerana gagal memperbaiki kebocoran siling walaupun telah beberapa kali membuat aduan.

Ujarnya, banyak barang di dalam rumahnya termasuk almari dan permaidani rosak teruk setiap kali hujan lebat kerana air akan mengalir melalui siling yang bocor sekaligus membanjiri rumah.

''Kami bimbang dengan nasib kami kerana kebocoran itu boleh mengundang bahaya lain seperti litar pintas atau siling runtuh," katanya. - Utusan Malaysia

No comments: