Wednesday, July 16, 2008

Masjid, pejabat jadi sasaran 'skim cepat kaya' internet

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Hrkh) - Masjid dan pejabat menjadi antara sasaran penyebaran dan hebahan 'skim cepat kaya' internet pihak-pihak tertentu untuk mempengaruhi mangsa-mangsa seterusnya mengaut keuntungan secara haram dan membelakangi undang-undang negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahir Samad berkata kerajaan mempunyai kaedah tertentu seperti tindakan undang-undang untuk menangani dan membendung gejala yang telah 'memakan' mangsa berjuta-juta ringgit.

"Skim cepat kaya ini antara cara hebahannya melalui rakan-rakan sepejabat, menggunakan masjid umpamanya mengikut sasaran mangsa-mangsa mereka.
"Tentunya mangsa-mangsa mereka terdiri daripada golongan mempunyai simpanan, umpamanya golongan yang sudah pencen," katanya ketika menjawab soalan lisan (KeADILan-Bayan Baru) Dato' Zahrain Mohamed Hashim di Dewan Rakyat pagi tadi berhubung isu yang telah melibatkan ramai rakyat Malaysia terperangkap dengan skim tersebut.

Tambahnya golongan yang mendapat pulangan lumayan hasil daripada pelaburan itu juga menjadi pendorong kepada pihak lain, sahabat dan saudara-mara untuk terpengaruh menyertai skim cepat kaya tersebut.

Malah sebelumnya beliau menjelaskan bahawa kombinasi teknologi seperti laman web serta hebahan melalui perbualan dan percakapan menjadi faktor penyumbang kepada masalah yang kronik tersebut.

Sementera itu beliau turut menamakan beberapa senarai syarikat skim cepat kaya yang turut disita dan dikenakan tindakan undang-undang kerana terlibat dalam pelanggaran di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganassan 2001 atau 'money laudering act'.

Kementerian Perdagangan dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti telah berusaha untuk mendapat balik wang pelaburan yang disimpan di luar negara dan wang yang dibekukan, katanya"Sejumlah RM2.5 juta wang hasil aktiviti syarikat skim cepat kaya Cambridge Capital telah dibekukan akibat tindakan pihak Suruhajaya Sekuriti mendakwa syarikat terbabit bawah akta di mahkamah tinggi Februari tahun ini.

"Kerajaan juga telah mendapat perintah mahkamah membabitkan Swiss Cash untuk mengarahkan wang berjumlah RM35 juta dari Hong Kong dan Singapura ke Malaysia.
"Kita juga berjaya menyita RM5 juta hasil Swiss Cash di bank-bank manakala di bawah skim Dana Futures telah dituduh di Mahkamah atas kesalahan pengubahan wang haram sejumlah RM400,000," katanya menjelaskan nama syarikat skin cepat kaya tersebut.

Ketika di tanya oleh Dato' Dr Fuad Zarkashi (BN-Batu Pahat) sama ada tindakan yang sama dikenakan juga terhadap mereka yang berkedudukan dan berjawatan tinggi yang turut menyertai skim tersebut, Sharir berkata beliau bersimpati kepada mereka yang telah ditipu oleh syarikat terbabit dan tidak sepatutya dikenakan tindakan undang-undang setelah mereka teraniaya.

Shahrir turut mengakui hasil tindakan kerajaan tersebut menyebabkan wang peserta skim terbabit berjaya dipulangkan namun terdapat juga yang masih gagal malah wang mereka masih 'terperangkap.'

No comments: