Friday, July 25, 2008

Mohamed Azmin jumpa PM

KUALA LUMPUR 16 Julai - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali malam ini bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan keselamatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan selama 30 minit itu berlangsung di pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen yang diturut disertai oleh Ahli Parlimen Bayan Baru dari PKR, Datuk Zahrain Mohamad Hashim.

Mohamed Azmin yang ditemui media selepas pertemuan itu berkata, Abdullah memberi reaksi yang positif terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan khususnya keselamatan Anwar yang kini masih di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Kata beliau, dalam pertemuan itu Abdullah juga sekali lagi memberi jaminan peristiwa 'mata lebam' Anwar tidak berulang.

''Saya telah nyatakan beberapa perkara yang menjadi kebimbangan kita dan beliau (Abdullah) ambil maklum perkara ini dan keputusannya baiklah.

''Kebimbangan ini tentu sekali bagaimana Anwar dikendalikan polis tengah hari ini apabila beliau ditangkap oleh komando bertopeng sedangkan Anwar sendiri telah berjanji untuk tampil memberi keterangan kepada polis.

''Abdullah sekurang-kurangnya mendengar penjelasan yang diberikan dan memberi jaminan tidak akan ada lagi peristiwa sedemikian," ujarnya.

Tambah beliau, perbincangan tersebut agak panjang dan ia berlangsung dalam suasana positif.

''Saya amat gembira kerana Perdana Menteri memberikan ruang ynag cukup luas terhadap saya dan Zahrain untuk bertemu," katanya. - Utusan Malaysia

No comments: